13 December 2009

Menghayati Pengorbanan Nabi Ibrahim..

Salam w.b.t.

Setiap kali tibanya bulan Zulhijjah, pastinya kita mendengar orang bercerita berkenaan peristiwa korban Nabi Ibrahim dan Nabi Isma'il. Setiap kali khutbah raya, pastinya peristiwa ini akan disebut, tidak kira di mana, sama ada di Malaysia mahupun di luar negara. Selama ini, saya hanya mendengar orang bercerita, namun, tahun ini merupakan kali pertama saya terbuka hati untuk membuka kitab tafsir (Al-Fussilat: 83-111) dan meneliti ayat-ayat quran yang menceritakan peristiwa ini.

Saya tertarik untuk berkongsi perjuangan hamba Allah iaitu Nabi Ibrahim yang soleh lagi agung ini.

Sememangnya dakwah yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim merupakan sesuatu yang cukup mencabar. Baginda dengan beraninya berdakwah kepada ayah dan kaumnya untuk mentauhidkan Allah. Kita semua sedia maklum, bagaimana penentangan yang telah diberikan oleh kaum Nabi Ibrahim kepada baginda, sehingga ingin mencampaknya ke dalam api.

Saya tidak mahu menyentuh banyak tentang perjuangan Nabi Ibrahim dengan kaumnya tersebut, memandangkan itu merupakan topik yang menarik namun cukup besar untuk dibincangkan. Apapun, kita dapat membayangkan setelah berjuang hingga hampir terbunuh, sudah tentulah Nabi Ibrahim sangat menginginkan seorang anak untuk mewarisi perjuangannya. Maka baginda berdoa kepada Allah:
'Ya Tuhan, anugerahkanlah aku (seorang anak) yang termasuk di kalangan orang-orang yang soleh' - 37:100
Ibnu Kathir menyatakan bahawa umur Nabi Ibrahim ketika itu adalah 86 tahun. Maka dapatlah kita bayangkan betapa inginya baginda akan seorang anak. Akhirnya Allah memakbulkan doa baginda, dan baginda dikurniakan seorang anak, iaitu Isma'il.

Kemudiannya diceritakan di dalam al-quran, apabila anak itu sudah boleh berjalan dengannya, sepertimana yang kita tahu, baginda bermimpi menyembelih anaknya, dan anaknya dengan rela hati menyahut seruan itu tanpa berdolak dalih.

Kisah ini menggambarkan betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim. Setelah berpuluh-puluh tahun menanti untuk mendapat anak, baginda akhirnya dikurniakan seorang anak. Maka dapatlah kita gambarkan betapa seronoknya perasaan tersebut dan betapa sayangnya baginda akan anak tunggalnya yang sudah lama ditunggu-tunggu.

Namun, apabila mendapat perintah daripada Allah, baginda dan anaknya tidak ragu-ragu untuk melaksanakannya, meskipun ianya melibatkan sesuatu yang sangat-sangat dicintai.

Menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim tidak cukup dengan sekadar kita mengetahui kronologi apa yang berlaku, tanpa mengambil kira keadaan yang dialami sewaktu timbulnya peristiwa tersebut. Perlu diingat, bukanlah suatu yang mudah untuk menyembelih anak sendiri. Ditambah pula, anak tersebut merupakan anak tunggal yang baik, dan kehadirannya telah dinanti-nanti sekian lamanya. Mereka benar-benar yakin, sekiranya sesuatu itu datang dari Allah, pastinya ia ada manfaatnya, meskipun hati dan logik akal mengatakan sebaliknya.


Gambar hiasan ~ Ayya Sofya - lambang satu pengorbanan?

Demikianlah dia kisah pengorbanan yang agung, yang dilakukan oleh seorang manusia agung. Dalam konteks kehidupan kita pada hari ini, dapatlah kita katakan anak itu umpama suatu tarikan dunia yang begitu kuat pada diri kita. Barangkali sebagai seorang pelajar, tarikan tersebut adalah pada pelajaran, barangkali pula ianya adalah kaum keluarga kita, ataupun wang biasiswa kita, ataupun barangkali ianya adalah masa luang kita, masa belajar kita dan sebagainya.

Perintah menyembelih itu pula dapatlah kita gambarkan sebagai suatu tuntutan agama yang dituntut oleh Tuhan, dan ia boleh jadi dalam pelbagai rupa dalam konteks kita pada hari ini.

Persoalannya berapa ramai antara kita yang sanggup mengorbankan tarikan dunia (pelajaran, wang, keluarga, dll) semata-mata untuk memenuhi tuntutan Ilahi. Usah disebut perkara yang besar, kadangkala, masa luang kita pun sangat sukar untuk kita korbankan. Kita seringkali terasa amat berat untuk mengorbankan masa belajar kita untuk hadir ke majlis-majlis ilmu, apatah lagi untuk pergi berdakwah. Ya, barangkali jawapan yang kita biasa dengar ialah, 'study tu pun kan ibadah juga'. Namun, pada realitinya, itulah dia antara tarikan dunia yang sangat berat untuk kita korbankan. Usah disebut pula tentang menginfakkan wang. Berapa peratus sangat yang kita gunakan wang kita untuk tujuan infak. Dalam konteks individu pula, barangkali begitu sukar bagi kita untuk mengorbankan kehendak 'al-hawa'.

Ketahuilah Islam tidak berkembang sepertimana kita lihat pada hari ini tanpa pengorbanan orang-orang yang terdahulu daripada kita. Lihat sahaja bagaimana kaum Muslimin Makkah berkorban meninggalkan kaum keluarga, kekayaan dala keadaan sehelai sepinggang untuk pergi berhijrah bersama Rasulullah. Lihatlah pula bagaimana Abu Bakar As-Siddiq dan Mus'ab bin Umair mengorbankan kekayaan mereka untuk kemajuan Islam. Begitu juga dengan tokoh-tokoh yang kemudian seperti Imam Hassan al-Banna dan ramai lagi yang mengorbankan harta, kesenangan bahkan hidup mereka sendiri semata-mata untuk memenuhi tuntutan dakwah.

Pengorbanan-pengorbanan yang agung ini dilakukan sepanjang zaman, dan tidaklah keterlaluan untuk mengatakan pengorbanan-pengorbanan inilah yang menjadi nadi dalam perkembangan agama Islam pada hari ini.

Dalam konteks individu pula, seharusnya kita yakin, jika suatu arahan itu datangnya dari Tuhan, seharusnya kita terus melaksanakannya dengan yakin bahawa ia akan mendatangkan kebaikan pada diri kita sendiri. Demikianlah contoh sifat tawakkal tanpa berbelah bahagi oleh seorang hamba Allah yang soleh apabila menerima sahaja suatu tuntutan, meskipun ianya kelihatan seolah-olah merugikan duit kita, sama ada mengambil masa kita, atau mengurangkan duit kita barangkali. Namun, jika kita bersifat tawakkal, kita seharusnya yakin, apabila suatu tuntutan itu datang dari Allah, pastinya Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya.

Sesungguhnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim benar-benar merupakan suatu peristiwa yang hebat dalam sejarah kemanusiaan. Tidak hairanlah Allah mengabadikan pujian ke atas hambaNya yang soleh tersebut sepertimana firmannya:
'Dan Kami abadikan ke atas Ibrahim (pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, "Salam sejahtera bagi Ibrahim" ' (37:108-109)
Sebenarnya bukanlah jiwa Nabi Isma'il yang Tuhan inginkan. Sebaliknya kepatuhan pada perintah Allah dan kesanggupan meninggalkan tarikan dunialah yang menjadikan satu pengorbanan itu suatu pengorbanan yang agung.

Salaamun 'ala Ibrahim. Salaamun 'ala Ibrahim.


p/s - Selamat Hari lahir buat adik saya, Afiqah Ismail dan abang ipar saya Asmadib, yang menyambut hari lahir baru-baru ini.

No comments: