14 February 2010

Lebih 'Islam' Dari Muslim..

Salam w.b.t.

Pagi tadi, saya agak keletihan setelah penat bermain futsal hingga hampir tengah malam semalam. Sebelum itu, saya menyediakan makanan dan berusrah bersama rakan-rakan junior saya di sini.

Segala puji bagi Allah, saya selamat kembali ke Republik Czech setelah seminggu di United Kingdom. Rasa rindu pada keluarga sedikit terubat apabila berjumpa dengan adik saya di Cardiff sewaktu lawatan saya ke sana baru-baru ini. Terima kasih kepada adik saya dan ikhwah di London, Cardiff dan Bath atas layanan yang diberikan. Semoga Allah membalas dengan balasan yang lebih baik.

Penulis di Bath, England

Sudah tentu perjalanan yang jauh diiringi dengan pengalaman yang luas. Ada juga pelajar perubatan yang mengatakan jauh perjalanan, luas imuniti, memandangkan sangat biasa antara kami di sini yang pulang dari kembara ke tempat lain dengan demam dan sebagainya. Apa jua pun yang orang kata, yang lebih penting, suatu perjalanan hanyalah sia-sia jika ia tidak menambahkan langsung iman kita. Allah s.w.t. berfirman di dalam al-quran:
'Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya, dan makanlah sebahagian dari rezekinya. Dan hanya kepadaNyalah kamu dibangkitkan' - Al-Mulk: 15
Setelah hampir 4 tahun di Eropah, ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke London, dan bandar ini merupakan bandar ke 18 di Eropah yang pernah saya lawati, tidak termasuk bandar-bandar di dalam Republik Czech ini. Satu perkara yang sering bermain dalam fikiran saya sepanjang berjalan di London ialah permainan 'monopoli' yang sering saya main bersama keluarga dan sepupu-sepupu saya sewaktu zaman sekolah rendah dahulu. Ini kerana hampir setiap tempat yang saya pergi ada namanya di dalam 'board game' tersebut. Kadangkala saya tersenyum sendirian terkenangkan permainan yang sering kami main sewaktu kecil-kecil, sehinggakan ada saudara saya yang mewakili Malaysia dalam permainan tersebut di peringkat antarabangsa di Monte Carlo, setelah belajar bermain dengan kami.

Penulis di Tower Bridge, yang selama ini disangkakan London Bridge

Di Stadium Arsenal, kelab bola yang penulis minati

Gambar lain di Web Album saya.

Apapun, sememangnya, banyak perkara yang dapat dipelajari dari gaya hidup, suasana dan persekitaran yang berbeza dengan di Malaysia atau di Republik Czech.

Kita seringkali percaya bahawa agama kita adalah agama yang lengkap dan sempurna. Namun, seringkali, kepercayaan itu membuatkan kita begitu megah dengan apa yang kita ada tanpa memandang orang lain. Saya tidak menafikan bahawa Islam adalah agama yang lengkap. Ya, itu benar. Islam adalah agama yang sempurna, namun orang-orang Islam tidaklah sempurna. Kita masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek. Lihat sahaja aspek ketepatan waktu, kebersihan, budaya membaca, usah pula dikata tentang aspek ekonomi dan sebagainya.

Malangnya, ketaksuban dengan kesempurnaan agama yang kita anuti membuatkan kita berasa gah dengannya sehingga kita memandang serong dengan orang-orang di barat. Saya masih ingat, ketika di sekolah dahulu, pernah sekali dibincangkan tentang sosial di barat. Apabila sebut sahaja orang Eropah, kita terbayang budaya kuning, gejala sosial dan sebagainya. Natijahnya, kita seolah-olah merasakan diri kita cukup hebat, kerana tidak terjebak dengan budaya-budaya sedemikian. Inilah dia perasaan yang kadangkala membunuh perkembangan diri kita sendiri.

Hakikatnya, daripada pengalaman saya pergi ke pelbagai tempat di Eropah, saya melihat masyarakat di barat kadangkala kelihatan lebih 'Islam' dari orang Islam sendiri dalam banyak perkara. Baik dari segi tutur kata, pergaulan, ketepatan masa, budaya membaca dan sebagainya. Sebagai contoh, orang Czech menjaga waktu lebih baik dari orang di Malaysia. Jika anda menaiki kenderaan awam di Czech dan tidak faham tulisan di sini, cukuplah dengan kita tahu pukul berapa kita tiba di stesen yang hendak kita tuju dan turun apabila keretapi atau bas berhenti pada waktu tersebut. Tidak dinafikan ada sahaja budaya kurang elok yang diperhatikan, namun apalah bezanya dengan masyarakat kita yang tidak kurang 'hebat'nya dalam jenayah, dadah, lumba haram dan sebagainya.

Persoalannya apakah dengan hanya menyempurnakan 5 rukun Islam menjadikan kita lebih mulia daripada mereka. Sedangkan dalam banyak aspek, mereka lebih 'Islam' daripada kita. Alangkah tidak adilnya jika demikian.

Sengaja saya menimbulkan persoalan, agar kita berfikir dan merenung kembali apakah layak untuk kita menjadi satu umat yang mulia hanya dengan menyempurnakan 5 rukun Islam tanpa kita menjalankan ajaran agama.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
'Didirikan Islam atas lima perkara: Syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Baitullah, dan puasa di bulan Ramadhan - Bukhari dan Muslim
Hadis tersebut menunjukkan 5 rukun Islam itu hanyalah asas, dan Islam itu terletak di 'atas' 5 asas tersebut. Sesungguhnya masih terlampau sedikit Islam yang kita atau lebih tepat saya sendiri amalkan. Bukanlah salah untuk kita belajar perkara yang baik dari orang lain, kerana manusia itu diciptakan berbangsa-bangsa untuk berkenalan. Justeru marilah kita berazam untuk memperbaiki diri sendiri ke arah yang lebih baik.

Dalam cuti ini, saya juga ada mencuba resipi baru. Beberapa hari yang lepas, saya mencuba membuat lasagna yang sangat saya suka ;-p insyaAllah, saya cuba memanfaatkan cuti yang tinggal ini dengan sebaik-baiknya.

No comments: