08 June 2010

Orang Asing dan Pengembara

Salam w.b.t.

Sudah agak lama saya tidak mengemaskini blog ini. Bukanlah tiada sebarang perkara yang berlaku sepanjang saya tidak menulis, cuma prioriti saya semakin berubah dari semasa ke semasa. Semakin lama, semakin banyak tanggungjawab yang dipikul. Kalau dahulu, bila ada sahaja masa luang, saya akan menulis, namun kini, setiap kali ada masa senggang, ada sahaja perkara lain yang perlu saya utamakan dahulu.

Apapun, syukur ke hadrat Allah, saya baru sahaja selesai subjek Neurology semalam dengan keputusan yang memuaskan. Dahulu, saya sungguh tidak gemar pelajaran ini, namun, semakin banyak dan semakin mendalam saya belajar, saya semakin jatuh hati dengannya. Itulah kata orang, 'tak kenal, maka tak cinta'. Sehinggakan kadangkala saya merasakan seolah-olah ingin menjadi seorang 'neurologist' pada masa hadapan, kerana terlalu minat dengan bidang ini.

Neurology - subjek yang banyak buatkan kita berfikir ;p

Banyak perkara yang saya belajar dan ambil pengajaran sepanjang praktikal saya dalam blok Neurology. Mungkin tidak perlu saya huraikan di sini sekarang.

Sekali sekala menulis, saya rasakan terlampau banyak perkara yang hendak dikongsikan. Tidak tahu mana satu yang hendak didahulukan. Ya, sangat banyak idea dalam fikiran saya sebenarnya. Banyak sekali peristiwa-peristiwa yang penting yang saya rasa sangat menarik untuk dikongsi bersama.

Apapun, biarlah saya simpan untuk entry-entry yang lain, kalau Allah izinkan. Untuk kali ini, saya suka untuk berkongsi satu hadis Nabi yang saya belajar baru-baru ini. Sewaktu saya mencari-cari penafsiran hadis ini, saya sedang dalam kesibukan persiapan exam Neurology yang saya ambil semalam.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
'Jadilah engkau di dunia laksana orang asing atau pengembara (yang sedang dalam perjalanan).... ' - Bukhari.
Barangkali ramai antara kita yang sudah mendengar hadis ini. Saya sendiri sudah banyak kali mendengarnya. Namun, kadangkala, sesuatu yang kita biasa dengar tidak sampai di hati kita jika kita tidak meneliti maksudnya.

Untuk menghayati hadis ini. Kita perlu jelas dengan konsep 'orang asing'.

Pertama, orang asing biasanya sentiasa bersedia untuk kembali ke tempat asal. Jika kita belajar di luar negara, tentu sekali kita selalu berusaha menghabiskan peperiksaan dan mengumpul duit supaya kita dapat pulang ke tempat asal kita. Kita cuba lakukan apa sahaja untuk memudahkan kita pulang ke tanah air kita.

Kedua, hati 'orang asing' juga sentiasa di tempat asalnya. Hatinya tidak terikat dengan tempat sementara yang sedang dilawati. Tidak kira betapa indah dan modennya tempat yang dikunjungi, pastinya hati kita sentiasa di tempat asal kita. Hati kita tidak mudah tertarik dengan tempat asing yang kita pergi.

'Orang asing' juga bukan seperti orang-orang di sekelilingnya. Rupa mereka berbeza. Sikap mereka berbeza. Tabiat juga berbeza. Usah dikata makanan kegemaran dan juga bahasa. Pendek kata, orang asing tidak bersifat sama dengan orang-orang setempat. Bagi yang berada di luar negara, kita dapat tahu sendiri betapa berbezanya kita dengan masyarakat setempat.

Demikianlah perumpamaannya dengan pesanan Nabi s.a.w. tentang hidup di dunia ini. Rasulullah berpesan agar kita menjadi 'orang asing' di dunia. Ertinya, hati kita seharusnya tidak terikat dengan dunia asing yang menjadi singgahan sementara kita ini. Kita juga seharusnya sentiasa bersedia untuk meninggalkan dunia ini. Hati kita seharusnya tidak berfokus pada dunia ini. Diri kita sendiri seharusnya bersifat berbeza dengan kebanyakan manusia di dunia ini. Jika tidak, kita bukanlah dikatakan sebagai orang asing.

Firman Allah di dalam quran:
'Dan jika kamu mengikuti kebanyakan manusia di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.. - al-An'am: 116
Pelajar luar negara pastinya lebih merasai hakikat menjadi 'asing' di bumi orang. Lokasi gambar: Karlovy Vary, Republik Czech

Namun demikian, Rasulullah, bukan setakat menyuruh kita menjadi 'orang asing', namun Rasulullah menyuruh kita menjadi 'pengembara' yang sedang dalam perjalanan.

Sifat pengembara pastinya lebih mencabar dari 'orang asing'. Sekurang-kurangnya, 'orang asing' ada menetap di satu-satu kawasan, namun pengembara adalah orang yang sentiasa dalam perjalanan siang dan malam untuk menuju destinasinya. Kalau pun berhenti, ia cuma akan berhenti sekadar untuk mengumpul kembali tenaga untuk meneruskan lagi perjalanan.

Orang asing juga sekurang-kurangnya ada menyimpan barang-barang yang lebih dari keperluan untuk menyara hidup. Sebaliknya seorang pengembara seboleh-bolehnya ingin mengurangkan lagi bebanan barang yang perlu diangkut dalam perjalanan.

Analoginya sangat mudah. Andaikata kita sedang melancong ke Italy, pastinya kita tidak akan membeli almari, kereta, atau perabot-perabot lain kerana kita tahu bahawa kita sedang dalam perjalanan dan kita tidak akan berada lama di situ.

Demikianlah pula perbandingannya dengan kehidupan di dunia ini. Jika kita hanya seorang pengembara di dunia ini, seharusnya kita tidak teringin pun untuk berbelanja berlebih-lebihan kerana kita sedar bahawa ini bukan destinasi kita, sebaliknya ia hanya satu singgahan dalam satu perjalanan yang panjang.

Kembara pastinya lebih mencabar

Pengembara juga mesti tahu arah tujunya, supaya dia tahu bahawa dia berada di dalam arah yang betul. Maka, seorang pengembara seharusnya memiliki ilmu dan teman yang dapat membantunya untuk menunjuk arah supaya sampai ke destinasi yang betul.

Sengaja saya kongsi analogi-analogi ini. Kebanyakan kita masih jauh dari perasaan zuhud apatah lagi bersifat seorang pengembara di dunia ini. Kadangkala kita terlampau risaukan peperiksaan kita sehingga kita melebihkannya dari perkara lain.

Baru-baru ini, sewaktu ramai sahabat saya pergi berdemonstrasi anti-Israel di ibu negara Republik ini, saya terlampau sibuk dengan persiapan peperiksaan sehingga tidak dapat menyertainya. Kebetulan ketika itulah saya mengkaji hadis ini, dan saya merasakan betapa hati saya sangat terikat dengan keduniaan.

Jika dunia yang lebih di hati kita, pastinya ia tidak akan pernah cukup bagi kita. Sebaliknya jika dunia dijadikan alat untuk destinasi sebenar, semestinya matlamat kita lebih jelas.

'Ya Allah, letakkan dunia ini di tanganku, bukan di hatiku'

7 comments:

a.i.s.y.a.h. i.s.m.a.i.l said...

'Barangsiapa yang allah inginkan kebaikan bagi dirinya, diberikannya kefahaman dalam agama'
(riwayat bukhari dan muslim)

insyaallah sama22 kita.. moga sentiasa istiqamah. :)

dh beli ticket flight balik?

dan if nk kirim doa spesific kt aisyah.. email lah nnt eh.

keyh take care.

salam.

muhammad noor ismail said...

Salam..

thanx2.. abg belum beli tiket lg la.. still tgh survey.. but insyaAllah akan beli dlm masa terdekat.. tiket flight sgt mahal la this year.. huhu..

aisyah pegi 21hb, kan?

a.i.s.y.a.h. i.s.m.a.i.l said...

oh ok then.

em insyaallah ke london 19th june coz de kursus on the 20th.

yup flight 21st. n rsult exam pun kuar 21st~~ doakanlah aisyah cemerlang eh :)

muhammad noor ismail said...

ic2.. besnye dpt gi umrah.. jeles2.. doakan abg byk2 kat sane ;p

insyaAllah, bole punye exam tu.. dun worry :-) abg blk lewat sket nnti, sbb buat praktikal kat sini dulu kejap..

Anonymous said...

like it.. :-)

sha said...

Salam, sangat menarik!

muhammad noor ismail said...

salam.. to sha..

jazakillah :-)