09 July 2012

Kerisauan..

Bismillah..

Ramai rakan-rakan saya yang sudah bekerja sebagai doktor bertanya bila saya mahu mula bekerja di Malaysia dan di mana. Saya hanya tersenyum tiap kali menerima persoalan tersebut. Semenjak selesai peperiksaan akhir saya tempoh hari, banyak perkara yang perlu saya uruskan. Hidup ini bukanlah semata-mata untuk belajar atau berkerjaya. Jika pelajaran adalah matlamat hidup kita, pastilah matlamat hidup saya sudah tercapai dan saya tidak punya apa-apa yang perlu difikirkan. Jika pangkat dan gelaran 'doktor' yang dicari, pastinya hidup saya sudah sempurna pada hari ini.

Tetapi hakikatnya, insan tidak akan pernah puas dengan apa jua pencapaian yang dicapai dalam hidup. Tanyalah orang kaya mana sekalipun, atau orang berpangkat mana sekalipun, saya yakin, tiada siapa yang benar-benar merasakan hidupnya sudah sempurna. Selagi mana seorang insan hidup di atas muka bumi ini, kita tidak akan pernah rasa sempurna hidup kita jika kita hanya meletakkan matlamat pada pangkat dan kedudukan.

Kerana itu al-quran telah pun meletakkan tujuan hidup yang mulia bagi insan. Al-quran telah meletakkan visi utama atas penciptaan kita.

'Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku' - 51: 56 

Hakikatnya tiada apa yang hendak dimegahkan hanya dengan mendapat gelaran 'doktor' atau apa sekalipun.

Lihatlah betapa tawaddu'nya sifat rasul s.a.w. dalam banyak perkara. Ketika rasul s.a.w. memasuki kota Makkah, dalam buku sirah diriwayatkan janggut baginda kena pada unta tunggangan baginda, bagi menunjukkan betapa tawaddu'nya sifat rasul s.a.w. menundukkan diri sewaktu memasuki kota Makkah.

Malah Allah memesan kita agar bertasbih, bertahmid dan beristighfar apabila memperoleh kemenangan. Kerana kadangkala kejayaan itu menduga hati kita lebih hebat dari dugaan ketika kita berada di bawah.

Saya ada membaca tentang situasi kerajaan uthmaniyah pada kurun ke 19 dan awal 20. Rupa-rupanya, kerajaan Islam yang berdiri ketika itu bukanlah satu kuasa yang saya sangkakan selama ini. Masyarakat dan sistem yang ada ketika itu sudah rosak dan saya fikir tidak jauh bezanya dengan masyarakat yang rosak pada hari ini. Malah dalam banyak perkara saya fikir masyarakat Islam yang ada pada hari ini lebih baik dari mereka ketika itu. Mereka dikhayalkan dengan kejayaan lampau. Dan sifat taqlid benar-benar telah membunuh masyarakat Islam sendiri. Hinggakan solat di Masjidil Haram sendiri berpecah kepada beberapa imam yang tidak bersatu di atas kefahaman yang sama. Ajaibnya, itu semua berlaku sewaktu dalam pemerintahan khilafah Islam.

Saya fikir jika demikianlah rupa khilafah Islam ketika itu, saya tidak hairan bagaimana mereka boleh jatuh dengan begitu mudah pada awal kurun ke-20. Hari ini kita menangisi kejatuhan khilafah, tetapi setelah membaca sejarah, saya fikir, tidak mustahil jika kita berada di zaman tersebut, mungkin kita sendiri termasuk di kalangan orang-orang yang menyokong pemansuhan sistem khilafah.

Banyak contoh lagi yang kita dapat teliti bagaimana sesuatu kejayaan kadangkala boleh mendatangkan kemudaratan yang cukup besar.

Saya cuma seorang hamba Allah yang dhaif. Di dalam hati ini, saya sebenarnya risau, apakah saya mampu hadapi pelbagai bentuk dugaan di masa hadapan. Moga-moga kesemua yang saya kecapi selama ini tidak menjadi fitnah pada diri saya.


No comments: